Infosekayu.com - Hidup ini ialah untuk diuji lalu kenapakah kita mesti mempersoalkan mengapa Allah menguji kita dan mengaitkannya dengan kesalahan-kesalahan tertentu ? Apakah mesti ada kesalahan baru berhak diuji ? Adakah jika kita melakukan semua perintah Allah maka kita akan terselamat daripada diuji ?

Sedangkan baginda nabi Salallahualaihiwassalam menyebut bahawa yang paling teruk diuji ialah
الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى الرجل على حسب دينه
“Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. (tambahan dalam riwayat yang lain menyebut) Tidaklah hilang bala itu pada seseorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya.” (hadith riwayat Ahmad, tirmidzi dan Ibn majah,).

Atau sebenarnya kita ingin memprotes dan mempertikaikan kenapa kita diuji kerana kita telah menunaikan solat, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya lalu kita mengharapkan sepatutnya hidup kita tidak lagi diganggu oleh Tuhan dengan apa jua ujian agar kita boleh hidup dengan senang dan bahagia di atas muka bumi ini ?

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja hidup senang-lenang) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka belum lagi diuji ?” (Al-Ankabut : 2)

Ujian yang datang daripada Allah membawa dua tujuan iaitu rahmat dan kebinasaan.Ujian seperti ini meningkatkan/meninggikan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT serta menghapuskan dosanya dan memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan syurga Allah SWT.

Sabda nabi Salallahualaihiwassalam,
إذا أحب الله قوما ابتلاهم
Maksudnya : “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum maka Dia akan menguji mereka.” (riwayat Tirmidzi)

Manakala ujian yang kedua pula memberikan musibah dan penyebab kepada kehancurannya di dunia dan di hari akhirat. Iaitu ujian yang berbentuk menjauhkan seseorang daripada agama dan mengeluarkannya daripada jalan Allah.

Firman Allah SWT : “Mereka berkata: "Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersamu." (Nabi) Soleh berkata: "Nasibmu adalah dari sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu adalah kaum yang diuji."(An-Naml : 47)

Kita semua akan diuji kerana itu merupakan tujuan dan sebab kita diturunkan ke atas muka bumi ini iaitu untuk diuji agar dapat dilihat siapakah yang beriman dan siapakah yang tidak. 

Ujian ialah peluang dan tanda kita dipandang oleh Allah 

Firman Allah SWT : “Dan sungguh akan Kami memberikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah : 155)

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hanya menguji orang yang dikasihinya atau yang mahu diberikan peluang untuk mereka beramal manakala orang-orang yang kafir dibiarkan dan tidak dipeduli oleh Allah SWt sebaliknya ditangguhkan balasan ke atas kesalahan-kesalahan mereka agar dihukum di hari akhirat dengan hukuman yang berat. Sedangkan orang yang beriman akan diuji sehingga dosa dan kesalahan mereka terhapus lalu dibangkitkan pada hari akhirat dengan keadaan suci bersih dari dosa.

Ini berdasarkan hadis daripada Anas ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba maka akan disegerakan hukuman terhadapnya di dunia dan jika Allah mengkehendaki keburukan kepada hambaNya maka dia akan menangguhkan hukuman terhadap dosanya agar dibalas pada hari kiamat.”(riwayat Hakim)

Sabda nabi salallahualaihiwassalam lagi,
من يرد الله به خيرا يُصِبْ منه
Maksudnya : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan kebaikan maka dia akan ditimpakan dengan musibah.” (riwayat Al-Bukhari)

Apabila Allah menguji hamba-hambaNya itu bermaksud Dia masih memberikan peluang dan kesempatan untuk kita bertaubat dan kembali kepadaNya serta mengambil pelajaran. Oleh itu jangan dipandang bahwa orang yang hidupnya tiada masalah, sempurna dan selesa itu sebagai orang yang bertuah atau mendapat rahmat sebaliknya mereka itulah orang yang telah diabaikan dan terlepas peluang dari mendapat rahmat daripada Allah SWT. 

Ujian itu tanda cinta ! (Ls)
Share To:

redaksi

Post A Comment: